
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pindaan itu sepatutnya dibuat demi menjamin “kestabilan dan keharmonian” negara.
“Kita boleh lihat meningkatnya kebimbangan awam dan mengganggu kestabilan jiwa orang Melayu bila mana LKS (Lim Kit Siang) mengeluarkan kenyataan bukan Melayu boleh menjadi PM berdasarkan Perlembagaan negara,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Wan Fayhsal dalam catatan Facebook menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menggunakan kelebihan majoriti dua pertiga untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang individu bukan Melayu menjadi perdana menteri.
Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan satu-satunya syarat untuk menjadi perdana menteri ialah individu itu perlu menjadi Ahli Parlimen, yang pada hemat Yang di-Pertuan Agong mungkin mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Peruntukan itu tidak menyatakan syarat mengenai kaum, agama atau jantina.
Wan Fayhsal dilaporkan berkata, beliau akan menyokong Anwar bagi pindaan tersebut.
Ahli Parlimen Machang itu berkata, pindaan Perlembagaan sedikit sebanyak dapat memulihkan sokongan orang Melayu kepada kerajaan perpaduan, selain menoktahkan pertikaian berhubung isu itu seperti dibangkitkan Lim, veteran DAP baru-baru ini.
Dalam ucapan kepada pelajar Malaysia di United Kingdom bulan lalu, bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berharap Malaysia tidak perlu menunggu lama seperti Amerika Syarikat (AS) untuk mempunyai pemimpin daripada kalangan minoriti.
Beliau merujuk bekas presiden AS, Barack Obama, yang dipilih ke Rumah Putih selepas 230 tahun negara itu mencapai kemerdekaan.
Semalam, polis merekodkan kenyataan Lim.
Sekutu PAS dalam Perikatan Nasional, Gerakan tidak dapat dihubungi untuk ulasan.