
Timbalan Pendakwa Raya Dusuki Mokhtar, berkata pembunuhan dilakukan “mengerikan” dan fakta kes kejadian “lain dari yang lain”.
“Terang-terangan tidak diendah nyawa manusia,” katanya dalam hujahan di hadapan panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Hadhariah Syed Ismail.
Turut sama bersidang, Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Ariffin.
Dusuki, turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Fairuz Johari dan Fuad Abdul Aziz.
Hakim diberikan budi bicara menjatuhkan hukuman bagi pembunuhan dan pengedaran dadah selepas pindaan beberapa undang-undang berkaitan, berkuatkuasa 4 Julai. Bagi hukuman bunuh, mereka disabitkan boleh dikenakan penjara antara 30 hingga 40 tahun, manakala pesalah lelaki di bawah 50 tahun boleh dikenakan minimum sebatan 12 kali.
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati terhadap enam lelaki, pada 10 Julai 2020, selepas didapati bersalah membunuh Morais, pada 4 Sept 2015, yang berlaku di antara Sentul, Kuala Lumpur dan Subang Jaya, Selangor.
Morais, 55, dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015 dan kali terakhir dilihat meninggalkan apartmen miliknya di Menara Duta, Kuala Lumpur menggunakan kereta rasmi. Mayatnya ditemukan dalam tong dram yang disimen di Subang Jaya, 12 hari kemudian.
Mahkamah Tinggi memutuskan bekas doktor tentera, R Kunaseegaran, R Dinishwaran, AK Thinesh Kumar, M Vishwanath, S Nimalan dan S Ravi Chandran, mempunyai niat untuk membunuh Morais.
Hari ini, Dusuki dalam hujahan menyatakan keterangan daripada rakan sejenayah, G Gunasekaran, adalah “lebih daripada mencukupi” untuk menyabitkan perayu.
Sebelum ini, Gunasekaran dituduh secara bersama membunuh Morais, namun pendakwaan menarik balik kesnya. Dia mengaku salah di Mahkamah Sesyen dan dikenakan hukuman penjara dua tahun kerana menyembunyikan mayat Morais dan melupuskan nombor plat keretanya.
Dusuki berkata, Kunaseegaran merupakan dalang jenayah itu, walaupun dia tidak pernah hadir di lokasi jenayah bersama tertuduh lain. Beliau berkata, motif pembunuhan tidak relevan selagi mana ia dibuktikan Morais dibunuh.
“Tiada dalam peruntukan undang-undang kita (bagi pembuktian motif), dengan hakim perbicaraan membuat kesimpulan berdasarkan keterangan saksi pendakwaan,” katanya.
Beliau turut menyebut hubungkait sabitan seperti berlaku terhadap bekas pegawai polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, apabila motif jenayah tidak didedahkan di mahkamah.
Peguam N Sivananthan, mewakili Kunaseegaran; M Manoharan bagi Dinishwaran; Burhanudeen Abdul Wahid bagi AK Thinesh Kumar; dan Afifuddin Ahmad Hafifi bagi M Vishwanath, memohon anak guam mereka dibebaskan kerana kandungan tuduhan tidak dibuktikan melampaui keraguan munasabah.
Amer Hamzah Arshad, mewakili Nimalan, berkata anak guamnya paling tidak dikenakan homisid salah tidak sehingga membunuh, menculik di bawah Kanun Keseksaan, dan melupuskan bukti.
Kitson Foong, mewakili Ravi Chandran, memohon anak guamnya dituduh menculik Morais di bawah Akta Penculikan.
Hadhariah berkata, panel bersidang akan menyampaikan penghakiman, pada 14 Mac.