Isteri Pastor Koh menangis ketika beri keterangan di mahkamah

Isteri Pastor Koh menangis ketika beri keterangan di mahkamah

Susanna Liew berkata, beliau dan anak-anaknya mengalami kemurungan sejak suaminya, Raymond Koh hilang enam tahun lepas.

Susanna Liew berkata, beliau memfailkan saman terhadap kerajaan dan polis kerana mahukan keadilan atas kehilangan suaminya.
KUALA LUMPUR:
Isteri kepada Pastor Raymond Koh menangis di Mahkamah Tinggi hari ini apabila menceritakan perjuangan keluarganya sejak suaminya hilang enam tahun lepas

Ketika memberi keterangan di mahkamah, Susanna Liew berkata, beliau memfailkan saman terhadap kerajaan dan polis kerana mahukan keadilan.

Susanna berkata, beliau dan tiga anaknya mengalami kemurungan sejak Koh hilang.

“Benar-benar menyedihkan dan mengecewakan apabila polis tidak meneruskan siasatan mereka (terhadap kehilangan Koh).

“Mereka menyukarkan hidup saya dan terus menyoal siasat saya,” katanya.

Besar kemungkinan Koh sudah meninggal dunia, Liew memberitahu dia mahu mengetahui apa berlaku terhadap suaminya dan berharap “pelaku” dibawa ke muka pengadilan.

Katanya, dia dan keluarga tidak mengetahui apa jua kesudahan berkait perkara itu walaupun selepas enam tahun berlalu sejak kehilangan suaminya.

“Menjadi hak ahli keluarga saya menerima mayat orang yang ‘hilang secara paksa’ tidak dihormati dan dilindungi,” katanya.

Pada 2020, Liew memfailkan saman terhadap polis, ketua polis negara, dan sejumlah pegawai tinggi polis susulan kehilangan Koh.

Mereka termasuk bekas ketua polis negara, Khalid Abu Bakar, Fuzi Harun termasuk bekas penolong pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial, Awaludin Jadid.

Nama lain tersenarai adalah bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed, bekas ketua siasatan jenayah Selangor, Fadzil Ahmat, dan pegawai polis, Supari, Khor Yi Shuen, Hazril Kamis, Shamzaini Daud, Saiful Bahari Abdul Aziz.

Liew menuntut ganti rugi kehilangan Koh, selain pihak berkuasa dipertanggungjawabkan kerana penculikan dan ‘misfeasance in public office’.

Tiada tindakan polis sejak 2011, kata isteri

Menjawab soalan daripada Peguam Kanan Persekutuan Nurul Farhana Khalid, Liew berkata sehingga ke hari ini dia tidak mengetahui siapa yang menghantar ancaman bunuh terhadap Koh sebelum kehilangannya.

Terdahulu, Liew memberi keterangan bahawa Koh pada 2011 menerima dua butir peluru dan nota bertulis dengan dakwat merah. Dia berkata, ancaman itu diterima tidak lama selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu makan malam kutipan derma di Damansara Utama Methodist Church, pada 3 Ogos 2011.

Ditanya Farhana sama ada ada kemungkinan pakej itu “secara salah dihantar ke rumahnya”, Liew menyangkal soalan itu.

Ketika memberi keterangan, Liew berkata susulan serbuan tersebut, 12 Muslim yang hadir pada majlis makan malam itu diminta tampil ke pejabat Jais.

Pihak berkuasa itu tidak lagi hadir ke premis gereja itu bagi apa jua tujuan selepas insiden berkenaan, katanya.

Ketika disoal berhubung dakwaannya bahawa Awaludin berucap di dua seminar pada 2015 dan 2016 berhubung dakyah terhadap Muslim, Liew berkata dia tidak menghadiri majlis itu sebaliknya bergantung kepada laporan media berkait maklumat tersebut.

Farhana memberitahu mahkamah pihak pembelaan berhasrat memanggil Awaludin memberi keterangan.

Pendengaran bersambung di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Su Tiang Joo, 27 May 2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.