
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata kanak-kanak itu melihat Zayn di tingkat dua dan tiga Blok R Apartment Idaman, di Damansara Damai, blok di mana keluarga Zayn menetap.
“Hasil ‘mass screening’, polis berjaya mengesan dua saksi kanak-kanak yang nampak mangsa di tingkat 2 dan 3 Blok R pada petang 5 Dis,” katanya kepada FMT.
Sehari selepas mangsa dilapor hilang, mayat Zayn ditemui di sungai, kira-kira 200m dari rumahnya.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia dalam tempoh 48 jam selepas mayat dijumpai.
Sebelum ini, polis berkata pihaknya pergi dari pintu ke pintu kawasan perumahan Idaman, melibatkan 18 blok kediaman yang menempatkan 2,400 rumah.
Semalam, dilaporkan bahawa proses siasatan menemukan stoking berdekatan kawasan sungai di mana mayat Zayn dijumpai.
Hussein berkata, stoking itu dihantar ke makmal untuk dianalisis bagi memastikan ia milik Zayn.
Pada 11 Dis, beliau dilaporkan berkata, polis percaya hanya seorang sahaja terlibat dalam pembunuhan Zayn, berdasarkan kesan jerut di leher dan ada kecederaan pertahankan diri ditemukan pada mayat mangsa.