SKMM kenal pasti 10 individu sebar mesej palsu subsidi diesel dihapus

SKMM kenal pasti 10 individu sebar mesej palsu subsidi diesel dihapus

Laporan polis turut dibuat berkenaan sebaran fitnah yang dibuat di media sosial itu, kata Fahmi Fadzil.

Maklumat palsu mengenai ‘penghapusan’ subsidi diesel mulai tahun depan yang tersebar di media sosial telah dinafikan oleh KPDN.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengenal pasti kira-kira 10 individu yang menyebarkan mesej palsu kononnya subsidi diesel akan dihapuskan bagi penggunaan kenderaan bermula 1 Jan.

Maklumat mengenai kesemua individu itu akan diserahkan kepada polis untuk siasatan dan tindakan susulan, menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

“SKMM dah kenal pasti lapan hingga 10 penyebar dan kita akan serah kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Laporan polis juga telah dibuat berkenaan sebaran fitnah itu,” katanya pada sidang media, lapor Bernama.

Sebelum ini, tersebar beberapa hantaran di media sosial berkaitan “subsidi diesel dihapuskan bagi kenderaan diesel bermula 1 Jan 2024”, yang dinafikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

KPDN dalam kenyataan menegaskan dakwaan itu tidak benar. Sebaliknya, menurut KPDN, pihaknya sedang melaksanakan projek rintis bagi melihat keberkesanan sistem “fleet card” dan MySubsidi Diesel, melibatkan enam syarikat yang menerima kuota bagi tangki gelongsor, yang akan tamat tempoh pada 14 Jan.

Menurut kenyataan itu lagi, projek rintis berkenaan sama sekali tidak melibatkan pengguna kenderaan diesel individu.

Fahmi meminta kerjasama orang awam untuk melaporkan sebarang mesej dan kandungan palsu di media sosial menerusi talian 016-2206262 agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.