
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, berkata penyokong Anwar dalam PKR seperti Fahmi Fadzil dan Fadhlina Sidek kekal di portfolio masing-masing di Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan.
“…tetapi berlaku pertukaran bagi Dr Zaliha Mustafa daripada Kementerian Kesihatan ke (menteri di Jabatan Perdana Menteri) Wilayah Persekutuan.
“Zaliha dilihat berada dalam kem (Timbalan Presiden PKR) Rafizi (Ramli),” katanya kepada FMT.
“Sedangkan Kementerian Komunikasi yang menerima tamparan hebat tapi Fahmi dikekalkan, begitu juga Fadhlina tetap kekal dan diberi peluang oleh perdana menteri.”

Hisomuddin juga berpandangan, kedudukan wakil menteri dan timbalan menteri daripada kaum India tidak menunjukkan perubahan ketara walaupun V Sivakumar digugurkan sebagai menteri sumber manusia.
“Tetapi di peringkat timbalan menteri ada pertambahan R Ramanan dan M Kulasegaran. Berlaku pertambahan…tidak terjejas, tidak ketara dalam konteks etnik India itu,” katanya.
Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpendapat rombakan Jemaah Menteri dibuat Anwar berdasarkan keputusan sepakat pimpinan parti komponen kerajaan perpaduan.

Katanya, Anwar tidak boleh sewenang-wenangnya membuat pelantikan tanpa berunding dengan kepimpinan parti berikutan tidak mempunyai kuasa mutlak dalam pentadbiran.
“Anwar hanya ada 82 kerusi…tak mungkinlah akan membuat sesuatu yang boleh memecahkan parti komponen,” katanya.
Rombakan Jemaah Menteri antaranya menyaksikan CEO Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Amir Hamzah Azizan dilantik sebagai menteri kewangan kedua dan Dr Dzulkefly Ahmad kembali menerajui Kementerian Kesihatan.
Mohamad Hasan daripada pertahanan kepada luar negeri, dengan Khaled Nordin mengambil alih portfolio itu manakala Zambry Abdul Kadir mengisi jawatan menteri pendidikan tinggi.
Selain itu ada juga pecahan kepada kementerian sedia ada iaitu komunikasi dan digital.