MBSA diarah bayar ganti rugi RM50,000 kepada pusat refleksologi

MBSA diarah bayar ganti rugi RM50,000 kepada pusat refleksologi

Pusat refleksologi itu menyaman MBSA kerana mendakwa mengalami kerugian akibat serbuan 'tidak sah' di premisnya pada April 2011.

Pesuruhjaya Kehakiman Jamhirah Ali menjalankan penilaian ganti rugi di Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas MBSA kalah dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan pada 2017. (Gambar fail)
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi memerintahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membayar ganti rugi am RM50,000 atas tindakan penguatkuasaan tanpa kebenaran 12 tahun lepas terhadap sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan refleksologi dan aromaterapi.

Pesuruhjaya Kehakiman Jamhirah Ali, yang menjalankan penilaian ganti rugi selepas MBSA kalah dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan pada 2017, bagaimanapun menolak tuntutan Only One Foot Reflexology Sdn Bhd untuk mendapatkan ganti rugi khas.

Jamhirah berkata, syarikat itu juga berhak mendapat faedah pada kadar 5% setahun ke atas jumlah penghakiman yang dikira dari semalam sehingga tarikh ia dibayar sepenuhnya.

Beliau turut memutuskan syarikat itu dibayar kos RM10,000.

R Kengadharan mewakili syarikat itu selaku peguam manakala Azmer Saad dan Nur Zalikha Noor Kashfi mewakili MBSA.

Dalam pernyataan tuntutannya pada 21 Dis 2011, syarikat itu berkata, pihaknya telah memperoleh lesen daripada MBSA pada 11 Mac 2009 untuk menawarkan perkhidmatan refleksologi dan aromaterapi di premisnya di Jalan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning.

Surat kelulusan majlis bertarikh 12 Mac 2009 itu menyertakan senarai syarat yang perlu dipatuhi oleh syarikat tersebut, termasuk peruntukan berkaitan khusus dengan bilik urut dan larangan terhadap alkohol, merokok, perjudian dan sebarang bentuk kegiatan ganas atau tidak bermoral.

Syarikat itu turut dikehendaki mempamerkan lesen dengan jelas. Lesennya diperbaharui pada 2011.

Pada 25 April 2011, sepasukan pegawai penguat kuasa MBSA menyerbu dan menggeledah premis syarikat itu, dan menahan beberapa pekerja wanita warga China dan Myanmar.

Pekerja-pekerja itu dilepaskan selepas Jabatan Imigresen mengesahkan permit kerja mereka sah.

Beberapa tilam telah turut dirampas dan syarikat itu telah dikenakan dua denda kompaun, yang kemudian dibayarnya.

Akibat serbuan dan rampasan itu, syarikat itu mendakwa mengalami kerugian antara RM1,000 dan RM1,500 sehari antara 25 April 2011 dan 4 Mei 2011.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan itu tidak diberi kuasa oleh Akta Kerajaan Tempatan 1976, maka ia menyalahi undang-undang.

Mahkamah Tinggi mendapati syarat-syarat lesen tidak secara nyata melarang perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat itu.

Mahkamah Rayuan menolak rayuan MBSA pada 25 Ogos 2015, lalu majlis mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun 2016 untuk meneruskan kes itu. Bagaimanapun, panel lima hakim mahkamah tertinggi itu menolak rayuan terakhir MBSA pada 10 Jan 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.