
Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Tan Cheng San berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat seorang wanita 22 tahun dikurung di rumah itu sejak beberapa hari oleh sindiket pemerdagangan manusia.
“Serbuan pada 5.45 petang itu menahan seorang lelaki berusia 34 tahun sebelum menyelamatkan wanita berkenaan.
“Siasatan awal mendapati lelaki itu yang bekerja sendiri, sedang menguruskan mangsa untuk dihantar ke negara jiran bagi bekerja sebagai operator dengan satu sindiket penipuan dalam talian,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, polis turut merampas dua kereta, sebuah komputer riba serta pelbagai peralatan berkaitan kegiatan pelacuran seperti kondom serta tisu.
Katanya, lelaki itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, dan pihaknya sedang mengesan beberapa individu dipercayai terlibat dalam rangkaian sindiket itu.
“Polis menasihatkan orang ramai, terutama mereka yang ditawarkan pekerjaan di luar negara dengan gaji lumayan supaya membuat semakan terlebih dahulu kerana bimbang menjadi mangsa sindiket penipuan atau pemerdagangan manusia.”
Difahamkan, wanita itu ditawarkan pekerjaan di negara jiran dengan gaji lumayan oleh rakan lelaki ditahan itu dan suspek kononnya mahu menguruskan pasport mangsa dengan mengurungnya di rumah itu sebelum menghantarnya ke luar negara.