‘Jangan lupa baiah’, PAS beri amaran pecat wakil rakyat sokong PM

‘Jangan lupa baiah’, PAS beri amaran pecat wakil rakyat sokong PM

Ia susulan dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gantang terdapat tujuh atau lapan Ahli Parlimen PN akan menyuarakan sokongan kepada PM dalam masa terdekat.

Hashim Jasin mengingatkan wakil rakyat PAS tidak meninggalkan jemaah untuk menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin memberi amaran kepada wakil rakyatnya tidak melupakan baiah dengan parti atau mereka akan dipecat jika menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Ia susulan dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal terdapat tujuh atau lapan lagi Ahli Parlimen Perikatan Nasional dari beberapa negeri akan menyuarakan sokongan kepada Anwar dalam masa terdekat, tanpa menyatakan mereka daripada PAS atau Bersatu.

“Sudah tentu akan dipecat daripada parti, dia tak dikira mewakili PAS dalam Parlimen…tapi kalau dia buat, dia secara automatik akan terpecat,” katanya kepada FMT.

Justeru, beliau mengingatkan wakil rakyat PAS supaya tidak meninggalkan jemaah untuk menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.

“Kepada ahli berhormat, kita dah berikrar dan baiah atas nama Allah, maka kita bukan bertanggungjawab dengan presiden, dengan jawatankuasa pusat sahaja, kita bertanggungjawab dengan Allah.

“Kita akan berhadapan dengan Allah untuk dibicarakan atas apa tindakan yang kita buat. Bicara di hadapan Allah dahsyatlah, sebab Allah tahu apa niat kita, waktu kita lakukan itu.”

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari pula berkata dakwaan Syed Abu Hussin “bertujuan tarik perhatian pihak kerajaan sahaja”.

“Beliau sendiri sudah tidak ada nilai. Tidak berbaloi membuat pengisytiharan sokong Anwar dalam Dewan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.