
Beliau menggesa pemimpin persekutuan agar mengkaji perjanjian dan dokumen berkaitan, seperti laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), laporan Suruhanjaya Cobbold, dan Perjanjian 20 Perkara.
“Mereka langsung tidak tahu … tidak faham apa itu IGC, Suruhanjaya Cobbold,” kata Pandikar selepas menghadiri acara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kota Kinabalu, lapor Borneo Post.
“Mereka tidak tahu proses pembentukan Malaysia. Itulah sebab mereka lambat faham permintaan kita. Apabila kita bangkitkan permintaan Sabah, segelintir antara mereka kelihatan keliru, seolah-olah berfikir ‘Apa ini? Kami tak faham’.
“Jadi mereka mesti faham (isu ini) dan apabila mereka faham, mereka akan hormat pendapat, permintaan kita. Seperti kes mahkamah, hakim mesti tahu undang-undang walaupun tanggungjawab peguam untuk jelaskan (semasa prosiding). Tetapi jika hakim tak tahu apa-apa, bagaimana nak buat keputusan?”
Bekas speaker Dewan Rakyat itu turut menyeru pemimpin persekutuan agar membaca dan menghayati proses pembentukan Malaysia.
Tambahnya, pemimpin politik di Semenanjung bertanggungjawab untuk memahami komitmen pemimpin Tanah Melayu terdahulu, dan mengapa Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung membentuk Malaysia.
Menurut Pandikar, sepanjang 10 tahun beliau menjadi speaker Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak sentiasa membangkitkan isu ini pada sidang Parlimen.
“Apa yang susah sangat tafsir Perkara 112D, untuk faham Jadual 10, 20 Perkara? Ketika ke London untuk cari fakta tentang MA63, saya jumpa fail yang menyatakan pada waktu itu, Sabah tegas tidak berkompromi berhubung isu cukai, menegaskan hak itu milik negeri,” tambahnya.
Dalam pada itu, Pandikar menyokong gesaan Timbalan Pengerusi GRS Jeffrey Kitingan agar parti itu bertanding di semua 73 kawasan pada PRN tahun depan.
Katanya GRS sebagai parti tempatan mesti bertanding di semua kerusi untuk menegakkan cogan katanya “Rumah Kita, Kita Jaga”.