
Ketua Polis Pulau Pinang, Khaw Kok Chin berkata demikian susulan dakwaan seorang lelaki diminta menukar seluar panjang sebelum dibenarkan membuat laporan mengenai kecurian dan keretanya dipecahkan penjenayah Khamis lalu.
Khaw berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap anggota polis terbabit.
“Polis Pulau Pinang sentiasa mengamalkan konsep berkhidmat untuk masyarakat dan mereka yang datang ke balai polis memerlukan bantuan.
“Maka, keutamaan ialah menerima laporan polis untuk mengambil tindakan segera dan membantu mangsa memerlukan…bukanlah pakaian sesuai atau tidak sesuai semasa membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Khaw berkata, berdasarkan semakannya, arahan menukar seluar dibuat seorang anggota polis sukarelawan simpanan (PVR) yang bertugas di pondok pengawal balai polis ketika itu.
Beberapa portal berita melaporkan lelaki 34 tahun itu sedang menjamu selera di sebuah pusat penjaja di Bukit Tambun di sini bersama keluarganya, sebelum mendapati cermin keretanya dipecahkan.
Beliau yang berseluar pendek ke Balai Polis Simpang Ampat untuk melaporkan kehilangan wang tunai RM800 dan pasport isterinya yang juga warganegara China, namun diarahkan menukar seluar panjang.
Lelaki itu kembali ke tempat kejadian bersama keluarganya selepas dilarang memasuki Balai Polis Simpang Ampat untuk memeriksa semak-samun berhampiran, dengan harapan pencuri meninggalkan pasport isterinya di sana sebelum didatangi anggota polis.
Selepas menceritakan kejadian keretanya dipecahkan, anggota polis itu meminta lelaki terbabit ke Balai Polis Bukit Tambun, di mana beliau membuat laporan polis tanpa sebarang masalah.