Ibu dakwa anak tak tahan dibuli, lari dari asrama 3 pagi

Ibu dakwa anak tak tahan dibuli, lari dari asrama 3 pagi

Ibu remaja itu akan mengambil tindakan undang-undang bagi memperjuangkan nasib anaknya.

Remaja 14 tahun itu ditemui orang awam di pondok menunggu bas di depan Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak, semalam dalam keadaan sangat lemah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ibu kepada remaja 14 tahun yang hilang selama dua hari mendakwa anaknya melarikan diri kerana tidak tahan dibuli dengan teruk.

Wanita berusia 38 tahun itu, berkata anaknya nekad melarikan diri dari asrama sekolah di Cheras pada 3 pagi, Khamis lalu.

“Perkara ini didedahkan anak saya, (dia) sudah tidak tahan dan tidak mampu menghadapi perbuatan buli yang sangat teruk dilakukan kepadanya,” katanya menurut Sinar Harian.

“Ini bukan kali pertama dia dibuli. Sebelum ini dia pernah juga dibuli, namun saya dinasihat menyelesaikan perkara itu dengan baik dan tidak mendakwa si pelaku.”

Beliau berkata, anaknya ditemui orang awam di pondok menunggu bas di depan Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak, semalam dalam keadaan sangat lemah kerana tidak makan.

Wanita itu dipetik Bernama berkata, laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat, selepas keadaan anaknya yang sedang dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz di Cheras, stabil.

“Buat masa ini, saya tidak mahu desak dia untuk bercerita, saya tunggu emosi dan keadaan dia stabil dahulu.”

Katanya, beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang bagi memperjuangkan nasib anaknya.

“Ini kali kedua kejadian buli yang sangat teruk berlaku kepada anak saya. Saya tidak boleh berdiam diri lagi. Saya akan mengambil tindakan tegas supaya keadilan dapat ditegakkan.”

Katanya, anaknya itu melarikan diri tanpa membawa dompet dan sekadar menjamah roti serta minum air yang diberikan seorang individu.

“Dia kelihatan sangat tidak terurus (ketika ditemui) dan seolah-olah macam gelandangan. Saya tidak pernah melihat dia sebegitu rupa, namun saya sekeluarga amat bersyukur kerana dia ditemui dalam keadaan selamat.”

Ditanya sama ada Kementerian Pendidikan (KPM) menghubunginya, Shuhada berkata, setakat ini tiada individu dari KPM menghubunginya.

KPM dalam kenyataan malam ini berkata, ia sedang menyiasat dakwaan kes buli itu bagi memastikan ia dapat diselesaikan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Cheras, Zam Halim Jamaluddin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi hotline polis Cheras 03-92845050/5051, hotline polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau ke mana-mana balai polis berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.