Falco dan Jimmy jejak bukti kes bunuh Zayn Rayyan

Falco dan Jimmy jejak bukti kes bunuh Zayn Rayyan

Dua ekor anjing pengesan K9 itu dibawa ke kawasan mayat kanak-kanak itu ditemukan untuk mengesan petunjuk baharu dalam pencarian suspek.

Polis membawa anjing pengesan ke kawasan penemuan mayat Zayn Rayyan Abdul Matiin berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai. (Gambar bernama)
PETALING JAYA:
Polis menggunakan khidmat anjing pengesan Falco dan Jimmy untuk menjejaki bukti dalam kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin sekitar Apartment Idaman, Damansara Damai.

Dua ekor anjing itu tiba pada 1.50 tengah hari tadi bagi melakukan penjejakan semula di kawasan aliran anak sungai berhampiran apartment berkenaan, lokasi mayat kanak-kanak itu ditemukan, lapor Bernama.

Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, Unit Anjing Pengesan K9 dibawa bagi mendapatkan petunjuk baharu yang mungkin akan membawa kepada penemuan suspek.

Sementara itu, Mohamad Fakhrudin menggesa individu yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka di kenderaan diletakkan di kawasan sekitar apartment terbabit agar menyerahkannya kepada pihak polis.

Beliau berkata, setakat ini belum lagi ada pihak yang tampil menyerahkan rakaman kepada pihak polis.

Dalam pada itu, Mohamad Fakhrudin menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyebarkan maklumat palsu tentang kes ini yang sedang disiasat.

Katanya, pelaku boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa lepas di kawasan apartment tersebut, namun keesokannya ditemukan maut dalam aliran anak sungai terletak kira-kira 200m dari blok kediamannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.