Pemilik rumah terpedaya tawaran ubah suai dalam talian, kata Ahli Parlimen

Pemilik rumah terpedaya tawaran ubah suai dalam talian, kata Ahli Parlimen

Teresa Kok berkata, hampir 40 mangsa terpedaya dengan catatan di media sosial dan laman web.

Teresa Kok berkata dalam banyak kes, polis teragak-agak campur tangan kerana percaya situasi itu rumit dan mencabar.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata hampir 40 pemilik rumah menjadi mangsa penipuan tawaran pengubahsuaian dalam talian.

Katanya, mangsa meletakkan kepercayaan terhadap kontraktor yang menjanjikan pengubahsuaian berdasarkan cita rasa mereka dalam catatan media sosial dan laman web.

“Menyedihkan apabila sebahagian mangsa ialah pembeli rumah kali pertama. Mereka menyimpan wang selama berdekad untuk membeli rumah. Selepas memiliki rumah impian, mereka mahukan reka bentuk tertentu.

“Akhirnya, kontraktor ini merosakkan rumah mereka,” katanya dalam pelancaran video yang memberi amaran kepada orang ramai berhubung penipuan terbabit.

Bernama melaporkan video dihasilkan Persatuan Rakan Industri Reka Bentuk Dalaman Malaysia (MIIP) itu dirasmikan Zaid Zakaria, ketua eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Perjanjian pembinaan

Beliau berkata, pemilik rumah perlu mendidik dan membiasakan diri dengan perjanjian pembinaan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan pengubahsuaian. Sampel perjanjian boleh dimuat turun dari laman web CIDB.

“Sampel itu menyenaraikan tanggungjawab dan obligasi kontrak semua pihak terbabit dalam projek pengubahsuaian dan ia sangat mudah difahami.

“Selain itu, pemilik rumah juga perlu dimaklumkan kos terkini bahan binaan, buruh serta undang-undang dan peraturan dilaksanakan pihak berkuasa tempatan atas kerja pengubahsuaian.”

Kok dalam ucapannya berkata, kebanyakan mangsa tidak tahu mengenai perjanjian pembinaan betul atau cara meminta perjanjian itu dibuat semasa rundingan projek pengubahsuaian.

“Justeru, saya menghargai usaha CIDB tampil dengan sampel perjanjian pembinaan dan mendidik orang ramai, khasnya pemilik rumah bagi mengetahui hak asasi mereka dalam perkara ini.”

Katanya, kes penipuan itu menyukarkan siasatan polis.

Mangsa biasanya diminta mengemukakan salinan perjanjian ditandatangani dengan kontraktor. Tetapi, mereka biasanya hanya mempunyai senarai sebut harga, bukannya kontrak rasmi.

“Dalam banyak kes, polis teragak-agak campur tangan kerana percaya situasi ini rumit dan mencabar untuk penguatkuasaan undang-undang.”

Kok berkata, hakikat mangsa meminta bantuannya menunjukkan ramai tidak tahu cara membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Saya sedar walaupun kamu mahu memfailkan aduan dengan SKMM, ia juga rumit. Ramai tiada kesabaran berbuat demikian.”

Pemilik rumah atau kontraktor berdepan masalah dalam projek pengubahsuaian boleh membuat aduan kepada CIDB di talian 03-55673300 atau mengisi borang dalam talian.

Video bertajuk “Jangan jadi mangsa penipuan kontraktor pengubahsuaian dalam talian” boleh ditonton di laman web MIIP dan platform media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.