Jumlah penganggur turun 0.5% pada Oktober

Jumlah penganggur turun 0.5% pada Oktober

Jabatan Perangkaan berkata penganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 61.6%, sementara penganggur jangka panjang melebihi setahun adalah 6.2%.

Menurut Jabatan Perangkaan, penganggur aktif atau sedia bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 80.1% daripada jumlah penganggur. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Bilangan penganggur menurun kira-kira 0.5% kepada 570,900 orang pada Oktober lalu berbanding 573,700 orang pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).

DOSM dalam kenyataan berkaitan Statistik Tenaga Buruh Oktober 2023 memaklumkan, kadar pengangguran pada Oktober kekal 3.4% seperti dicatatkan September lalu.

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin, berkata penganggur aktif atau sedia bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 80.1% daripada jumlah penganggur.

“Kategori ini turun sebanyak 0.4%, iaitu 457,200 orang berbanding bulan sebelumnya 458,900 orang.

“Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 61.6%, sementara mereka yang dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah 6.2%.

“Begitu juga mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif berkurang sebanyak 0.9% atau 113,800 orang berbanding September yang mencatatkan 114,800 orang.”

Pada Oktober, katanya, kadar pengangguran bagi belia 15 hingga 24 tahun adalah 10.7% atau 313,300 orang berbanding 10.6% atau 310,100 orang September lalu.

Kadar pengangguran belia 15 hingga 30 tahun pula turun sebanyak 0.1% kepada 6.6% atau 439,600 orang berbanding 6.7% atau 440,000 orang pada September.

Menurutnya, bilangan luar tenaga buruh pula menurun sedikit sebanyak 0.02% kepada 7.24 juta orang berbanding 7.24 juta orang pada bulan sebelumnya.

“Komposisi terbesar bagi luar tenaga buruh disebabkan kerja rumah atau tanggungjawab keluarga sebanyak 42.6% dan kategori bersekolah atau latihan sebanyak 40.9%.”

Mengulas prestasi keseluruhan bagi Oktober, beliau berkata, pasaran buruh pada Oktober 2023 terus mengukuh berikutan aktiviti ekonomi semasa yang menggalakkan, dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala pengangguran semakin berkurangan.

Oleh itu, katanya, bilangan tenaga buruh berada pada trend meningkat pada Oktober 2023, dengan pertambahan sebanyak 0.1% bulan ke bulan yang mencatatkan 16.97 juta orang berbanding 16.95 juta orang pada bulan sebelumnya.

“Kadar penyertaan tenaga buruh pada Oktober 2023 tidak berubah, iaitu 70.1% seperti bulan sebelumnya.”

Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja pada Oktober terus meningkat dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2% yang mencatatkan 16.4 juta orang berbanding bulan sebelumnya 16.38 juta orang.

Uzir berkata, ekonomi Malaysia dilihat bersedia ke arah prospek ekonomi lebih baik, dengan keyakinan perniagaan meningkat dan mencerminkan perniagaan terus berkembang.

Katanya, pertumbuhan itu disokong pasaran buruh semakin baik, permintaan domestik, aktiviti pelancongan dan pelaksanaan projek infrastruktur meningkat yang akan meningkatkan peluang pekerjaan.

“Pasaran buruh negara dijangka terus berada dalam momentum pertumbuhan stabil pada bulan berikutnya, walaupun dalam persekitaran ekonomi mungkin mencabar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.