Disyaki jual darjah kebesaran palsu hingga RM2 juta, presiden NGO ditahan

Disyaki jual darjah kebesaran palsu hingga RM2 juta, presiden NGO ditahan

Sindiket itu dikatakan mengenakan bayaran misalnya gelaran Datuk bernilai kira-kira RM150,000, Datuk Seri RM250,000 manakala Tan Sri kira-kira RM2 juta.

SPRM berusaha mengesan beberapa lagi suspek dipercayai terlibat dalam sindiket itu.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu termasuk presiden sebuah NGO disyaki terlibat dalam sindiket penjualan darjah kebesaran pingat persekutuan palsu, melibatkan bayaran kira-kira RM2 juta.

Menurut sumber SPRM, empat lelaki termasuk presiden NGO berkenaan, serta dua wanita berusia antara 30 hingga 50-an ditahan di lokasi berasingan, iaitu Ibu Pejabat SPRM di sini dan Melaka antara 30 Nov dan Rabu lalu.

Semuanya ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket penjualan darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri dengan bayaran kira-kira RM2 juta, dan presiden NGO itu disyaki menjadi dalang utama.

“Presiden NGO itu disyaki menetapkan harga bagi calon yang berminat mendapatkan pingat kebesaran dan mengarahkan ahli sindiketnya, iaitu seorang lelaki berusia 50-an menyamar sebagai Tengku.

“Ini bagi mendapatkan bayaran untuk menipu kira-kira enam individu lain yang ingin mendapatkan pingat kebesaran tanpa melalui prosedur biasa,” katanya.

Beliau berkata, sindiket ini dipercayai mula menjalankan kegiatan sejak 2020 dan memperdayakan beberapa mangsa membabitkan kerugian beratus ribu ringgit.

“(Mereka) menunjukkan gambar dan surat dokumen daripada sebuah agensi kerajaan bagi meyakinkan mangsa bahawa gelaran dan pingat yang diatur melalui pintu belakang ini benar-benar tulen,” katanya.

Difahamkan, sindiket itu dikatakan mengenakan bayaran berbeza mengikut darjah kebesaran, misalnya gelaran Datuk bernilai kira-kira RM150,000; Datuk Seri RM250,000, manakala Tan Sri bernilai kira-kira RM2 juta.

Menurut sumber berkenaan, seorang mangsa lelaki berusia dalam lingkungan 50-an dipercayai membayar kira-kira RM1.2 juta menerusi beberapa transaksi bank untuk mendapatkan gelaran Tan Sri.

Difahamkan SPRM sedang berusaha mengesan lima lagi invididu yang turut menjadi mangsa.

Presiden NGO itu kini direman hingga 11 Dis, manakala empat lagi individu direman hingga hari ini. Seorang lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan berkata, siasatan dijalankan bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

“SPRM berusaha mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai terlibat dengan sindiket ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.