Mak cik Kemboja, anak didakwa hina Melayu

Mak cik Kemboja, anak didakwa hina Melayu

Bagaimanapun Mariyah Yaakob dan anaknya Ezuan Hafsyam Mohd Hisyam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Mariyah Yaakob dan anaknya, Ezuan Hafsyam Mohd Hisyam didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka atas tuduhan menghina orang Melayu menerusi satu video tular di media sosial. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang ahli perniagaan wanita dikenali sebagai “Mak cik Kemboja” dan anak lelakinya yang mencetuskan kontroversi di media sosial selepas mendakwa “Melayu malas” didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka atas tuduhan menghina.

Bagaimanapun, Mariyah Yaakob, 47, dan anaknya, Ezuan Hafsyam Mohd Hisyam, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, Mariyah didakwa membuat penyataan dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu melakukan kesalahan terhadap mana-mana kaum lain menerusi rakaman video di TikTok dan ditonton di sebuah rumah di Bukit Piatu, Kampung Musai di Melaka pada 6 petang, 16 Nov lalu.

Ibu tunggal tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ezuan Hafsyam pula didakwa secara sedar menggunakan aplikasi TikTok, memulakan penghantaran komunikasi jelik dikeluarkan ibunya dengan niat menyakitkan hati orang lain pada 14 Nov hingga 16 Nov lalu.

Dia didakwa bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang boleh dihukum dipenjara sehingga setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pengarah Pendakwaan Negeri Ahmad Sazali Omar mencadangkan tertuduh masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM30,000 dengan syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Kamal Hisham Ja’afar yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu jaminan rendah dikenakan terhadap dua beranak itu memandangkan perniagaan Mariyah terkesan selepas diboikot akibat kontroversi berkenaan.

Kamal turut memohon mahkamah tidak menahan pasport tertuduh kerana Mariyah sering ke luar negara bagi urusan perniagaan manakala anaknya pula masih belajar di sebuah universiti swasta di UK.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Sabri kemudian membenarkan Mariyah dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 manakala anaknya dibebaskan dengan jaminan RM10,000 serta membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan.

Beliau menetapkan 12 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, tular video di media sosial menunjukkan seorang wanita yang mengaku asal Kemboja, tetapi sudah lama bermastautin di negara ini mengadakan penstriman langsung di sebuah gedung pakaian Muslimah.

Dia mendakwa orang Kemboja sememangnya pandai dan rajin berniaga berbanding orang Melayu yang malas, namun pada akhir rakaman video berkenaan, menyatakan dia hanya bergurau dan memohon maaf, disusuli permohonan maaf yang diulang pada hantaran berasingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.