
Kuasa Usaha Kedutaan AS di Kuala Lumpur, Manu Bhalla berkata, beliau menyedari sentimen awam dalam kalangan rakyat Malaysia disebabkan sokongan yang kian lama diberikan terhadap Palestin, yang berperang dengan Israel sejak 7 Okt.
Bagaimanapun, katanya, perbezaan dasar tidak mengatasi persamaan yang dikongsi dua negara ini.
“Kita di Malaysia jelas terkesan apabila melihat gambar dan video mengerikan lagi memilukan dari rantau itu,” katanya.
“Memang ini waktu yang sukar, dan kita menyedari perkara itu. Kita perlu faham, dalam sebarang hubungan, seperti hubungan dua hala dinamik antara kita, pasti akan ada perbezaan dalam beberapa isu.
“AS menyatakan pendiriannya terhadap Hamas, dan mungkin tidak ramai senada. Bagaimanapun, kita mempunyai banyak persamaan dengan Malaysia, contohnya rasa hormat mendalam dan berterusan terhadap hak orang awam di Palestin,” katanya dalam pertemuan dengan media di sebuah hotel.
Beliau berkata, AS turut berkongsi pandangan bahawa penyelesaian jangka panjang memerlukan penyelesaian dua negara yang membolehkan orang Israel serta Palestin hidup seiring, dengan keamanan, maruah, dan kebebasan saksama.
Pelaburan tak jejas
Bhalla berkata, walaupun kesan ke atas jenama AS di negara ini turut diperkatakan, beliau tidak melihat ia menjejaskan perdagangan AS-Malaysia memandangkan syarikat berkenaan memenuhi permintaan pasaran tempatan.
Mengambil McDonald’s sebagai contoh, beliau berkata rangkaian makanan segera itu bergantung sepenuhnya pada rantaian bekalan tempatan.
Beliau berkata, syarikat AS memutuskan untuk melabur di Malaysia berdasarkan analisis terperinci, maka pendirian Malaysia berkait Palestin dilihat tidak pengaruhi komitmen jangka panjang seperti itu.
Bhalla berkata, AS sumber terbesar pelaburan langsung asing kepada Malaysia, iaitu RM38 bilion tahun lalu.
“Ini bukan memorandum persefahaman atau idea di masa depan. Ini wang tunai nyata dari AS memasuki Malaysia yang memberi kesan baik terhadap ekonomi tempatan, mewujudkan peluang kerja, dan menunjukkan hasil nyata,” katanya.
“Ini mewujudkan dividen dan hasil mampan untuk masyarakat.”