
Ketua Polis Seberang Perai Utara Mohd Asri Shafie berkata pihaknya sudah selesai merekodkan keterangan semua mangsa dan saksi terlibat.
“Kita perlu mendapatkan beberapa perkara lagi, termasuk laporan sahsiah remaja 13 tahun itu daripada sekolahnya (untuk melengkapkan siasatan).
“Kertas siasatan akan disiapkan secepat mungkin, kita jangka akan diserahkan kepada polis kontinjen Pulau Pinang minggu depan, seterusnya dihantar ke Bukit Aman sebelum diserah kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata remaja lelaki yang juga pelajar OKU itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan selesai.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar Tingkatan Satu ditahan bagi membantu siasatan, selepas polis menerima laporan daripada pengetua sekolah dan semua mangsa berusia 13 dan 14 tahun yang juga OKU bermasalah pembelajaran, penglihatan, pendengaran serta autisme.