Haram komik, kerajaan diarah bayar lebih RM51,000 kepada ‘Superman Hew’

Haram komik, kerajaan diarah bayar lebih RM51,000 kepada ‘Superman Hew’

Mahkamah Tinggi bagaimanapun menolak tuntutan ganti rugi oleh bekas ahli DAP itu sebanyak RM1.05 juta atas kehilangan pendapatan.

Pada Oktober 2019, KDN mengharamkan sebuah komik karya Hew Kuan Yew mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana didakwa boleh memudaratkan ketenteraman awam. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi sejumlah RM51,465 kepada bekas ahli DAP “Superman” Hew Kuan Yew, kerana mengharamkan komiknya pada 2019.

Peguam, Vince Tan berkata, Hakim Amarjeet Singh membenarkan tuntutan sebanyak RM51,144 sebagai yuran guaman, dan ganti rugi RM325 selepas 13 salinan buku Hew dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tuntutan Hew untuk mendapatkan ganti rugi RM1.05 juta atas kehilangan pendapatan.

Pada Oktober 2019, KDN mengharamkan komik Yew bertajuk “Belt & Road Initiative for Win-Winism”, mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, mendakwa kandungannya boleh memudaratkan ketenteraman awam.

Komik itu didakwa mengagung-agungkan China dan inisiatif “Belt and Road”, sambil menggambarkan dunia Barat dari sudut negatif. Komik itu diterbitkan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

Tahun lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan larangan itu dan mengarahkan KDN memulangkan semua salinan komik yang dirampas.

Mahkamah Persekutuan juga menolak permohonan KDN untuk merayu dan mengembalikan semula larangan itu. Mahkamah tertinggi itu kemudiannya memerintahkan kes itu dirujuk ke Mahkamah Tinggi untuk penilaian ganti rugi.

Peguam Kanan Persekutuan Nur Irmawatie Daud dan Ng Wee Li tampil mewakili KDN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.