
Ketua Polis Seremban Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku pada 15 Nov lepas apabila seorang wanita berusia 56 tahun menerima panggilan daripada individu menyatakan ada bungkusan mengandungi barang terlarang, iaitu buku cek dan kad pengenalan, yang didaftarkan atas namanya.
“Mangsa berasa lebih takut apabila diugut akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya tidak mengikuti arahan individu berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
“Dia seterusnya mengikuti segala arahan individu itu dengan menekan pautan yang diberikan dan turut berkongsi maklumat akaun banknya bagi tujuan menyelesaikan masalah tersebut.”
Arifai berkata, mangsa yang kemudian berasa curiga membuat semakan akaun bank dan mendapati ada pengeluaran wang daripada akaun miliknya sebanyak RM480,000, lalu beliau membuat laporan polis semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.