
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata bekalan air di kebanyakan kawasan akan terputus sepenuhnya, manakala beberapa kawasan masih mempunyai bekalan terhad.
Katanya ia akan menjalankan kerja penggantian injap di loji rawatan air (LRA) Sungai Dua dan pembaikan berkaitan di beberapa lokasi lain sepanjang saluran paip utama.
“PBAPP meminta pengguna membuat persediaan awal dengan menyimpan air mencukupi untuk menghadapi gangguan bekalan air ini.
“Pastikan premis anda dilengkapi tangki simpanan air untuk meminimumkan kesulitan sepanjang gangguan. PBAPP akan membuat makluman mengenai bantuan serta sokongan lain dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.
Pengguna boleh menghubungi pusat panggilan 24 jam di 04-2558255 atau melayari laman media sosialnya untuk maklumat lanjut.
PBAPP membekalkan air kepada hampir 677,000 pengguna di Pulau Pinang, dan hampir 70% daripadanya bergantung kepada air terawat dari LRA Sungai Dua.
Pulau Pinang berdepan masalah air sejak 18 bulan lalu. Pada Julai 2022, banjir di Baling mencemari Sungai Muda, dan Mei lalu, paras air sungai itu turun mendadak menyebabkan LRA utama tidak dapat mengeluarkan air terawat dalam kuantiti normal.