
Sumber berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MKT malam ini yang dipengerusikan Presiden Zahid Hamidi malam ini.
Menurutnya, antara kesalahan bekas ketua penerangan Umno itu termasuk mendesak Zahid meletak jawatan serta berdebat, mengeluarkan label barua DAP dan tidak hadir mesyuarat.
“Termasuk malam ini, sudah empat kali beliau tidak hadir,” katanya.
Setakat berita ini ditulis, tiada pengesahan atau pengumuman dibuat oleh Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
FMT telah cuba menghubungi Isham untuk mendapat maklum balasnya.
Terdahulu, Zahid dilaporkan mencabar Isham supaya hadir ke mesyuarat MKT malam ini, untuk membantah kerjasama dengan DAP dalam pilihan raya.
Bagaimanapun, Isham kekal dengan pendirian untuk tidak hadir ke mesyuarat itu malah mencabar Zahid berdebat secara terbuka berhubung krisis dan masa depan Umno, susulan siri kekalahan dihadapi parti itu sejak PRU15.
Susulan kekalahan Umno pada PRK Kemaman, Sabtu lalu, Isham melancarkan kritikan terhadap pimpinan Umno yang mendakwa parti itu terus menerima penolakan orang Melayu kerana sudah tersasar daripada memperjuangkan Melayu dan Islam, serta rela menjadi “barua” DAP.
Dalam satu kenyataan berasingan selepas mesyuarat MKT, Asyraf berkata mesyuarat malam ini bersetuju semua Ahli Parlimen dan Adun Umno terus menyokong kepimpinan Anwar Ibrahim.
Menurutnya, perkara itu selaras keputusan oleh MKT pada 24 Nov tahun lepas dan diluluskan perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno pada 14 Jan.
“Bagi meningkatkan kesefahaman dan kerjasama antara parti-parti membentuk kerajaan perpaduan, mesyuarat bersetuju untuk menganjurkan Konvensyen Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri-negeri bermula Januari tahun depan,” katanya.