Doktor didakwa palsu sijil vaksinasi Covid-19

Doktor didakwa palsu sijil vaksinasi Covid-19

Dr Muhamad Reze Rashid didakwa memalsukan sijil vaksinasi Covid-19 di sebuah klinik swasta di Kampung Rhu Rendang, Marang pada 2021.

Dr Muhamad Reze Rashid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang atas 10 tuduhan memalsukan sijil vaksinasi Covid-19 untuk pelanggannya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang doktor sebuah klinik swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang di Terengganu atas 10 tuduhan memalsukan sijil vaksinasi Covid-19 untuk pelanggannya dua tahun lalu.

Dr Muhamad Reze Rashid, 52, mengaku tidak bersalah selepas semua tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Zur Azureen Zainalkefli, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan pertama, Reze didakwa dengan niat membuat catatan palsu tentang status penerimaan vaksinasi terhadap pelanggannya, seorang lelaki berusia 44 tahun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 477A Kanun Keseksaan dan jika disabitkan dengan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Reze juga didakwa membuat dokumen palsu dengan secara fraud menyempurnakan dokumen iaitu kad peringatan vaksinasi terhadap individu sama.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 464 (a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut berdepan lapan lagi pertuduhan iaitu masing-masing empat pertuduhan mengikut Seksyen 477A Kanun Keseksaan dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 464 (a) Kanun Keseksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah klinik di Kampung Rhu Rendang, Marang pada 7 hingga 23 Dis 2021.

Zur Azureen kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dan menetapkan 17 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah manakala tertuduh diwakili peguam, Najib Zakaria dan Azahir Nasir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.