Bosan 3 kali undi setahun punca 18,000 pengundi putih Umno tak keluar

Bosan 3 kali undi setahun punca 18,000 pengundi putih Umno tak keluar

Pemimpin Umno Terengganu berkata jumlah penyokong Umno tidak turun mengundi pada PRK Kemaman lebih ramai daripada jumlah disebut Zahid Hamidi.

PRK Kemaman menyaksikan sebanyak 65.7% keluar mengundi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno Terengganu berkata dianggarkan 18,000 pengundi putih parti itu tidak turun memilih, sekali gus “menyumbang” kekalahan dengan majoriti 37,220 undi pada PRK Kemaman, Sabtu lalu.

Margin kemenangan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar jauh lebih tinggi berbanding diperoleh calon PAS, Che Alias Hamid, 27,179 undi majoriti pada PRU15, yang mana kemenangannya dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya kerana didapati berlaku rasuah, pada September lalu.

Pada PRK Kemaman, Samsuri yang juga Adun Ru Rendang menumpaskan calon BN, Raja Affandi Raja Noor dalam saingan dua penjuru.

Timbalan Ketua Umno Terengganu, Nik Dir Nik Wan Ku, berkata jumlah penyokong Umno tidak mengundi sebenarnya lebih tinggi berbanding 10,000 pengundi atau 68.3% dinyatakan Presiden Umno Zahid Hamidi kelmarin, yang dikatakan antara punca majoriti PAS meningkat.

Dakwanya, penyokong Umno tidak keluar mengundi kerana “bosan” perlu mengundi tiga kali setahun iaitu pada PRU15, PRN Ogos lalu dan PRK yang berlaku apabila parti itu membantah kemenangan Che Alias.

“Ada juga penyokong Umno kecewa kerjasama dengan DAP (bawah kerajaan perpaduan) mereka tak boleh terima, jadi ada sokong PAS kali ini,” katanya kepada FMT.

Susulan kekalahan berterusan sejak PRU15 di Terengganu, Nik Dir turut mengakui tugas besar perlu dihadapi mereka untuk menangkis tanggapan ramai bahawa PAS bukan agama.

“Sekarang rakyat percaya sokong PAS masuk syurga, jadi kita kena tangkis perkara itu dulu bahawa PAS bukan agama.

“Umno tak sempat nak baiki kelemahan sebab pilihan raya rapat sangat, ditambah kekangan kewangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.