
Razali, 57, yang juga ketua penerangan Bersatu didakwa menyebut perkataan menghasut itu pada majlis pelancaran jentera pilihan raya Perikatan Nasional bagi PRK Kemaman di Terengganu bulan lepas.
Beliau didakwa berbuat demikian di Padang Astaka Chukai, Kemaman antara 9.30 malam hingga 11.30 malam pada 10 Nov.
Hakim N Priscilla Hemamalini menetapkan 22 hingga 26 April tahun depan untuk perbicaraan ketika sebutan kes hari ini.
Terdahulu, Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Razali selaku peguam memohon mahkamah menetapkan tarikh bicara selepas pihaknya menerima dokumen berkaitan kes daripada pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal mengesahkan dokumen berkenaan telah diserahkan kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
Pada 24 Nov lepas, Razali yang juga exco pelancongan, kebudayaan, alam sekitar dan perubahan iklim Terengganu mengaku tidak bersalah atas dakwaan itu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.