
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata gangguan itu menyebabkan kekecohan di BSI kerana set jana kuasa terbabit sepatutnya membekalkan elektrik ke dewan pejalan kaki.
“Kerja penyelenggaraan TNB bermula 8 malam hingga 4 pagi tadi. Proses itu disokong tujuh set jana kuasa di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), malangnya satu tidak dapat beroperasi dengan baik,” katanya menurut Harian Metro selepas mesyuarat bersama BSI, TNB dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kota Iskandar.
“Kita ada masalah bermula 11 malam apabila set jana kuasa rosak itu tidak berfungsi sepenuhnya pada 2 pagi. Bagaimanapun, kita berjaya selesaikan masalah bekalan elektrik itu selepas TNB buat kerja penyelenggaraan kira-kira 9.30 pagi.”
Beliau berkata pembukaan sembilan laluan kontra membantu menangani masalah e-gate tidak berfungsi dengan baik semasa gangguan bekalan elektrik.
Gangguan bekalan elektrik berlaku di Johor Bahru Sentral serta CIQ BSI yang juga pintu masuk utama dari Singapura.
Gangguan lebih 12 jam itu menyebabkan keadaan gelap dan panas, selain kesesakan di ruang cap pasport yang terpaksa dilakukan secara manual.
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi dilaporkan mengkritik TNB, selain menyifatkan gangguan bekalan elektrik itu menyusahkan pengguna dan memalukan negeri.
Fazli berkata, TNB akan mengkaji bekalan tambahan alternatif untuk BSI, manakala JKR memperbaharui SOP bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Maknanya, ada persediaan awal jika ada kerja membabitkan ‘shut down’ Pencawang Pembahagian Utama (PPU) dan Stesen Suis Utama (SSU). Sekarang, BSI hanya dapat bekalkan 33kv dari PPU Gerbang Perdana.
“Perkara ini tidak asing sebab bangunan itu memiliki tujuh set janakuasa sebagai persediaan. Kita cadangkan TNB tidak bergantung kepada pembekal utama PPU Gerbang Perdana, kita minta satu laluan lain untuk bekalan tenaga elektrik ke bangunan itu.”