Gangguan sistem eGate di BSI terkawal

Gangguan sistem eGate di BSI terkawal

Pelawat asing dinasihat memuat turun aplikasi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional bagi menggunakan kaunter QR dan manual.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan BSI fb pic 10126
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan BSI berkata gangguan teknikal sistem eGate hanya membabitkan pemegang pasport asing dan tidak menjejaskan warganegara Malaysia. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Sistem eGate di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang sedang mengalami gangguan teknikal hanya membabitkan pemegang pasport asing dan tidak menjejaskan warganegara Malaysia.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) BSI menerusi hantaran Facebook memaklumkan setakat ini, keadaan di semua zon terkawal dan pergerakan pengembara berjalan lancar.

“Bagi pemegang pasport asing, bantuan dan panduan akan diberikan untuk menggunakan eGate di lokasi Dewan Bas Masuk eGate 19, 20, 21 dan 22 serta Dewan Bas Keluar e-Gate 5, 6, 7 dan 8.

“Sebagai langkah mengurangkan kesesakan, pelawat asing dinasihatkan memuat turun aplikasi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) bagi menggunakan kaunter QR dan manual disediakan.”

AKPS berkata, pembaikan dan pemantauan bagi menangani isu itu giat dijalankan bersama Jabatan Imigresen.

Ia meminta semua pihak mematuhi semua panduan dan arahan berkaitan serta memberi laluan kepada pengembara lebih memerlukan demi keselesaan dan keselamatan semua.

Terdahulu, media melaporkan puluhan ribu warga asing terkandas dan beratur panjang di dua pintu masuk darat Malaysia dengan Singapura susulan gangguan teknikal menyebabkan kebanyakan pintu automatik imigresen tidak berfungsi hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.