Pelancong asing diberi kelonggaran isi kad ketibaan digital hingga 31 Dis

Pelancong asing diberi kelonggaran isi kad ketibaan digital hingga 31 Dis

Tetapi semua pelancong asing wajib mengisi MDAC selepas 1 Jan ini.

Saifuddin Nasution Ismail berkata pelawat asing sepatutnya mengisi MDAC tiga hari sebelum tiba di Malaysia, namun kelonggaran itu diberikan kerana dasar tersebut baru dilaksanakan.
SEPANG:
Pelancong dan pelawat asing diberi kelonggaran mengisi Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) sehingga 31 Dis ini.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata pelawat asing sepatutnya mengisi MDAC tiga hari sebelum tiba di Malaysia, namun kelonggaran itu diberikan kerana dasar tersebut baru dilaksanakan.

Tetapi katanya, semua pelancong asing wajib mengisi MDAC selepas 1 Jan ini.

Beliau berkata, kad ketibaan digital sudah lama diamalkan kebanyakan negara, termasuk Singapura dan pelaksanaan MDAC akan menjadi permulaan kepada program Tahun Melawat Malaysia 2026.

“MDAC ini memberi kita maklumat penting seumpama keberadaan mereka (pelancong). Mereka berada di mana, alamatnya di mana dan sebagainya,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pelancong dan pelawat asing boleh mengisi data dalam talian seawal tiga hari sebelum tiba di Malaysia menerusi https://imigresen-online.imi.gov.my/mdac/main.

MDAC sebahagian daripada lima inisiatif utama bagi penambahbaikan kemudahan perkhidmatan Jabatan Imigresen, selaras pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV) yang mengecualikan visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India.

Jabatan Imigresen dilaporkan berkata, peraturan baharu yang berkuat kuasa Jumaat lalu itu dikecualikan kepada pelawat yang transit melalui Singapura, berstatus penduduk tetap dan pemegang kad Sistem Pelepasan Automatik Malaysia (MACS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.