Kes mayat wanita disimen, lelaki direman seminggu

Kes mayat wanita disimen, lelaki direman seminggu

Tempoh reman sehingga Isnin depan itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Seorang lelaki berusia 53 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat wanita disimen di Pandamaran, Klang, kelmarin.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga asing direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat wanita yang ditanam dan disimen dalam kolah air di sebuah rumah sewa di Pandamaran, Klang, kelmarin.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid di Mahkamah Majistret Klang selepas membenarkan permohonan dikemukakan polis di Mahkamah Majistret hari ini, lapor Berita Harian.

Tempoh reman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek berusia 53 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah pada 9.47 pagi dengan diiringi anggota polis.

Semalam, polis mengesahkan penemuan mayat dalam keadaan disimen dalam sebuah kolah di sebuah rumah di Kampung Pendamar.

Siasatan dijalankan polis selepas menerima laporan daripada pemilik rumah itu berkaitan terdapat mayat di kolah bilik air rumah sewa tersebut.

Anggota bomba mengambil masa lebih dua jam untuk memecahkan simen kolah air sebelum mengeluarkan mangsa.

Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat.

Setakat ini hanya seorang lelaki ditahan manakala dua lagi suspek dikenali sebagai Ranjit Singh dan Mandeep Singh yang menyewa rumah tersebut masih dikesan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.