
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Law Teik Hua, berkata secara asasnya pemberian diskaun seumpama itu tidak sepatutnya dibuat kerana bukan budaya dan didikan betul.
Beliau membangkitkan persoalan sama ada kaedah itu yang dilakukan dalam beberapa program kerajaan sebelum ini boleh mendidik pengguna memandu dengan selamat dan mengikut peraturan jalan raya.
“Jika mereka beritahu perbuatan beri diskaun masih boleh kurangkan kes-kes kemalangan, boleh teruskan. Tetapi (jika sebaliknya) tidak boleh teruskan,” katanya kepada FMT.
Dalam konteks tawaran diskaun pada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Law berkata bakal ada tanggapan tidak baik kepada pemerintah.
Katanya, sebagai contoh mungkin ada mengatakan ini cara kerajaan menarik rakyat ke program itu.
“Ada juga persepsi pihak berkuasa nak dapat duit. Ini tak betul,” katanya.
Semalam, polis mengumumkan menawarkan potongan diskaun sehingga 50% bayaran saman trafik terpilih sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata diskaun tidak melibatkan kesalahan lalu lintas pada tahun ini dalam kes kemalangan, kes mahkamah berstatus waran tangkap atau masih dalam perbicaraan dan kesalahan tidak boleh dikompaun.
Sebelum ini, kerajaan beberapa kali menawarkan diskaun saman trafik. Terbaru pada 21 April hingga 21 Mei lalu menyaksikan pesalah trafik hanya perlu membayar RM50 bagi setiap kompaun kesalahan tahun lalu dan sebelumnya.