
Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata sesi kaunseling bagi mangsa yang merupakan pelajar berkeperluan khas itu amat penting.
“Selain kaunselor di sekolah menengah pendidikan khas itu, kami di KPM turut menyediakan kaunselor luar bagi memberikan bimbingan kepada mangsa terlibat.
“Mangsa masih di asrama dan sekarang ini mereka diberi perhatian yang rapi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis anugerah kecemerlangan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan St Xavier.
Lim berkata suspek berumur 13 tahun yang juga OKU itu digantung sekolah dan berada di rumah pada masa ini.
“Soal kes berkenaan biar pihak polis yang membuat siasatan, namun kami di KPM pastikan semua mangsa terlibat dijaga dengan baik,” katanya.
Pada Sabtu lepas, polis menahan seorang pelajar Tingkatan 1 bagi membantu siasatan selepas polis menerima laporan daripada pengetua sekolah terbabit, dan semua mangsa berusia 13 dan 14 tahun mempunyai masalah pembelajaran, penglihatan, pendengaran, dan autisme.
Sementara itu, Lim berkata KPM mengarahkan beberapa penambahbaikan dalam garis panduan di semua sekolah dan asrama antaranya rondaan lebih kerap oleh warden bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi pada masa hadapan.
Beliau berkata sekolah terbabit juga diarahkan untuk menyediakan laporan lengkap berhubung kejadian itu untuk diserahkan kepada kementerian dalam masa terdekat.