
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata cadangan itu akan dibawa ke peringkat kementerian untuk penelitian lanjut.
“Saya akan bawa cadangan ini ke MoF dan kami akan meneliti cadangan dikemukakan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) menggesa kerajaan mempertimbangkan penangguhan pelaksanaan e-Invois Fasa 5 bagi PMKS.
Menurut kaji selidik Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), katanya, lebih 85% pembayar cukai mempunyai kesedaran pelaksanaan e-Invois, manakala lebih 90% menyatakan mereka mempunyai pemahaman mencukupi hasil sesi taklimat dan webinar percuma serta berbayar anjuran LHDN dan pihak luar.
Beliau berkata, LHDN juga sentiasa membuka ruang libat urus dengan persatuan perdagangan atau kumpulan peniaga memerlukan bantuan bagi memastikan peralihan kepada pelaksanaan e-Invois berjalan lancar.
Menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai keselamatan data pengguna dan peniaga, Lim menegaskan, LHDN memberi keutamaan tinggi terhadap perlindungan data selaras dasar keselamatan ICT kerajaan, garis panduan pengkomputeran awan serta pekeliling keselamatan maklumat.
Menurutnya, LHDN turut mematuhi piawaian antarabangsa seperti Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) dan Sistem Pengurusan Kesinambungan Perniagaan (BCMS), selain melaksanakan enkripsi, pengesahan, kawalan capaian dan firewall untuk menghalang pencerobohan atau pengubahsuaian data.
Lim berkata, LHDN turut melaksanakan tadbir urus data mengikut piawaian industri, mengehadkan akses kepada individu dibenarkan saja serta menjalankan penilaian postur keselamatan secara berkala dengan pihak ketiga.
Katanya, LHDN bekerjasama rapat dengan Agensi Keselamatan Siber Negara dan Majlis Keselamatan Negara bagi memastikan perlindungan sistem e-Invois di tahap tertinggi, termasuk penambahbaikan berterusan berdasarkan pemantauan dan audit berkala.