
Pada sidang DUN Kedah minggu lalu, Sanusi dilaporkan menggelar Tiong “tokong berkepala botak dan berperut buncit”.
Beliau menuduh Tiong tidak cukup berusaha mempromosikan sektor pelancongan Kedah ketika mengiringi Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin di Sadao, Thailand, bulan lalu.
“Kalau (Sanusi) mahu lebih ramai pelancong datang (ke Kedah), paling mustahak minta beliau jaga mulut sikit.
“Kalau (buat) bukan-bukan, tak guna,” kata Tiong kepada pemberita.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa Sanusi memohon maaf kepada Tiong.
Bagaimanapun, Tiong menepis ejekan Sanusi itu kerana menurutnya, itu sebahagian daripada permainan politik.
Di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini, Tiong bertemu Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh berhubung pemilihan Melaka menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia pada 2025 dan persidangan global bersempena dengannya.
Acara itu akan berlangsung serentak selama tiga hari mulai 27 Sept 2025, menurut Tiong.
Beliau berkata, status Melaka sebagai bandar warisan menjadi faktor utama negeri itu dipilih sebagai tuan rumah oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia.