PN teruskan momentum sokongan, kata Takiyuddin

PN teruskan momentum sokongan, kata Takiyuddin

Setiausaha agung PAS berkata sokongan menaik terus direkod sejak siri PRK Kuala Terengganu dan Pulai selain DUN Simpang Jeram serta Pelangai.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, berkata gabungan undi BN-PH pada PRK Kemaman lebih rendah, berbanding pada PRU15. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Barisan Nasional-Pakatan Harapan terus kehilangan sokongan, manakala Perikatan Nasional (PN) terus menyaksikan momentum sokongan menaik, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Katanya, keputusan PRK Kemaman semalam memaparkan calon PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar memperoleh sokongan 70% pengundi, sebaliknya undi diperoleh BN-PH pada tahap 30% sahaja, jauh lebih rendah jika sokongan dua parti itu digabungkan pada PRU15, November lalu pada tahap 41%.

“Kemenangan Samsuri dengan majoriti lebih besar sebanyak 37,220 undi yang mewakili sokongan 70% pengundi…tetapi juga mengesahkan momentum sokongan menaik kepada PN dalam siri PRK yang diadakan pasca PRU15, termasuk di Parlimen Kuala Terengganu dan Pulai serta DUN Simpang Jeram dan Pelangai sebelum ini.

“Dengan kata lain, gabungan PH-BN bukan sahaja gagal meraih sokongan baharu, tetapi terus kehilangan sokongan yang pernah dinikmatinya sebelum ini berdasarkan penurunan ketara yang dicatatkan di Kemaman,” katanya dalam kenyataan.

Pada PRK Kemaman, Samsuri yang juga Adun Rhu Rendang, menumpaskan calon BN, Raja Affandi Raja Noor, dalam saingan dua penjuru.

Margin kemenangan diraih Samsuri jauh lebih tinggi berbanding diperoleh calon PAS, Che Alias Hamid, 27,179 undi majoriti pada PRU15, yang mana kemenangannya dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya kerana didapati berlaku rasuah, pada September lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata PAS percaya kemenangan di Kemaman menunjukkan penolakan pengundi terhadap “politik dana peruntukan”.

“PAS kekal komited kepada politik matang, bermaruah, dan demokratik bukan sahaja dalam peranannya sebagai blok pembangkang di Parlimen, tetapi juga sebagai kerajaan di negeri ditadbirnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.