Pusat undi PRK Kemaman dibuka

Pusat undi PRK Kemaman dibuka

Sejumlah 141,043 pengundi layak memilih di kawasan Parlimen itu.

PRK Kemaman menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon BN, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar mewakili PAS. (Gambar Bernama)
CHUKAI:
Semua 49 pusat mengundi dengan 244 saluran bagi PRK Parlimen Kemaman, dibuka 8 pagi tadi.

Ia melibatkan pusat mengundi di empat kawasan Dewan Undangan Negeri di Parlimen berkenaan iaitu Kemasik, Kijal, Chukai, dan Air Putih, yang akan ditutup pada 6 petang ini sebaik tamat tempoh mengundi.

Sebanyak 2,102 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dilantik bagi mengendalikan proses pengundian berkenaan yang membabitkan 141,043 pengundi.

Sebelum ini 387 anggota polis dan enam anggota tentera yang sepatutnya mengundi awal pada 28 Nov, diarah melaksanakan undi secara pos bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja menyelamat dan bertugas pada musim banjir.

Pada 28 Nov, proses pengundian awal tetap dijalankan di Balai Polis Kijal melibatkan hanya tiga pengundi yang merupakan pasangan tentera.

PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar mewakili PAS.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid, pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.