
Syarikat minyak negara itu berkata, kejayaan itu hasil program cari gali yang dipergiatkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menyaksikan penggalian 25 telaga, jumlah tertinggi dalam masa setahun sejak 2015.
Katanya, lebih separuh penemuan itu berada dalam Lembangan Sarawak, khasnya dalam dua kelompok di wilayah geologi Balingian dan Luconia Barat.
“Antara penemuan utama ialah Gedombak-1, Sinsing-1, Machinchang-1 dan Mirdanga-1 oleh Petronas Carigali Sdn Bhd, serta Babadon-1 dan Chenda-1 oleh PTTEP Thailand,” katanya dalam kenyataan.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Petronas, Mohamed Firouz Asnan, berkata kejayaan penerokaan ketara itu mengesahkan kepercayaannya terhadap potensi tinggi lembangan Malaysia yang matang, menggunakan data seismik 3D baharu dan teknologi perisian terkini bagi mengesan potensi hidrokarbon lebih dalam dengan lebih baik.
Pihaknya menyokong penuh penggunaan strategi penerokaan baharu oleh rakan kongsi mereka yang menumpukan potensi berdekatan lapangan, yang akan membolehkan pengewangan lebih cepat bagi penemuan itu.
“Strategi itu penting dalam memenuhi permintaan tenaga semakin meningkat, bukan saja di Malaysia, tetapi juga di negara rantau ini.”
Firouz berkata, MPM akan melancarkan siri Pusingan Bidaan Malaysia seterusnya pada awal tahun depan, menawarkan bakal pelabur lebih banyak blok penerokaan dan peluang penemuan sumber.
“Sokongan padu daripada negeri pengeluar serta kerajaan persekutuan sangat penting dalam kejayaan pertumbuhan asas sumber negara.”