KPN sah siasatan dakwaan gangguan seksual Agus pada Wahab di Bintulu

KPN sah siasatan dakwaan gangguan seksual Agus pada Wahab di Bintulu

Razarudin Husain berkata kejadian dipercayai berlaku di sebuah hotel di Bintulu pada 21 Okt, mengikut laporan dibuat Wahab.

Mohammad Agus Yusoff dan Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani sebelum ini disiasat susulan kes video perbualan lucah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Polis Negara mengesahkan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan bekas ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff di Bintulu, Sarawak, bulan lalu.

Razarudin Husain berkata aduan itu ada dalam laporan dibuat Penolong Pegawai J-Kom Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani semalam.

“Berdasarkan laporan itu, Abdul Wahab mendakwa kejadian berlaku pada 21 Okt lalu di sebuah hotel di Bintulu.

“Polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan,” katanya menurut Berita Harian.

Razarudin berkata polis masih menjalankan siasatan mengenai kes itu dan akan memanggil beberapa individu untuk direkod keterangan.

Semalam, Wahab ke IPD Kajang bersama peguamnya Faizal Abd Rahman untuk memberi keterangan dan membuat laporan bagi membersihkan namanya termasuk dalam kes video perbualan lucah.

Beliau juga mengakui tertekan dan trauma dengan apa yang berlaku dalam kes itu.

Agus dan Wahab dalam sidang media khas 17 Nov lalu mendakwa video perbualan mereka yang tular di media sosial sudah disunting, dengan Wahab mendakwa diarahkan individu bernama “Mr H” untuk merakam video perbualannya bersama Agus.

Semalam, Wahab mengesahkan “Mr H” yang mengupahnya merakam video tular dengan Agus adalah individu sama dipanggil polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.