Kes ubah wang haram, rasuah Wan Saiful dibicara bersama

Kes ubah wang haram, rasuah Wan Saiful dibicara bersama

Hakim memutuskan demikian selepas timbalan pendakwa raya memohon kes ubah wang haram dihadapi Wan Saiful Wan Jan didengar bersama kes rasuah.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah berkait projek Jana Wibawa.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes pengubahan wang haram dan rasuah berhubung projek Jana Wibawa dihadapi bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan, dibicarakan bersama.

Hakim Rozina Ayob memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali memohon kes pengubahan wang haram dihadapi Wan Saiful dipindahkan ke mahkamah ini untuk didengar bersama kes rasuah.

Peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Wan Saiful tidak membantah permohonan itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta di hadapan Hakim Suzana Hussin manakala dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta di hadapan Rozina.

Sementara itu, ‘Afif berkata pihaknya akan memanggil 32 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu dan memohon supaya tarikh perbicaraan pada 11 dan 12 Mac tahun depan yang ditetapkan sebelum ini dilapangkan bagi menyediakan dokumen.

Rozina berkata, tarikh perbicaraan pada 25 hingga 27 Mac; 29 dan 30 April; dan 20 hingga 21 Mei tahun depan dikekalkan selain menetapkan tarikh tambahan bicara pada 19 hingga 21 Jun; 24 dan 25 Jun; 10 hingga 12 Julai serta 8 dan 9 Ogos.

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Beliau juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku, antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022.

Wan Saiful juga didakwa atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindahkan dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya untuk membayar pembelian sebuah kereta jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara selain memindahkan wang berkenaan ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Syarikat Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.