
Award itu dibuat Tribunal Timbang Tara Malaysia selaras keputusan Mahkamah Persekutuan, iaitu pindaan terhadap Akta Pencen pada 2013 melanggar peruntukan Perlembagaan bahawa sebarang skim pencen baharu tidak boleh kurang menguntungkan daripada yang lama.
Peguam Engku Aminuddin Engku Ibrahim yang mewakili kumpulan itu berkata, ketua tribunal, Iszam Kamal Ismail bersetuju pindaan itu ultra vires Perlembagaan dan memerintahkan pencen mereka disemak semula.
“Keputusan itu akan dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk pengesahan dan penguatkuasaan,” katanya kepada FMT.
Tindakan itu difailkan 2,332 veteran dari ketiga-tiga sayap angkatan tentera. Mereka berhujah pindaan terhadap Akta Pencen menyalahi undang-undang dan melucutkan hak mereka untuk kadar semak semula setiap kali kerajaan menyelaraskan gaji anggota tentera.
Jurucakap mereka, Leftenan Komander bersara Rafique Ali Ahmad Nordin memberitahu FMT, beliau bersara pada 2001 dan mendapat 46% daripada gaji terakhirnya. Tetapi, gred gaji terakhirnya kini di skala lebih tinggi susulan beberapa semakan, tetapi pencennya masih sama.
“Apa yang saya dapat sekarang hanya kira-kira 35% daripada gaji pokok semasa pegawai berpangkat sama dan dengan jumlah tahun perkhidmatan sama. Ini bertentangan dengan Perlembagaan berhubung pencen kakitangan kerajaan.”
Beliau bersetuju keputusan itu akan memberi implikasi kewangan besar kepada kerajaan, “tetapi ini kesilapan beberapa kerajaan terdahulu. Kami dilucutkan hak kami selama bertahun-tahun, jadi tiba masanya mereka membayar kami semula.”
Kumpulan itu menamakan Majlis Angkatan Tentera, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan dan kerajaan sebagai defendan.
Award timbang tara itu menyusul duluan ditetapkan Mahkamah Persekutuan pada Jun lalu yang memihak kepada pesara Aminah Ahmad dan 56 individu lain menerusi tuntutan difailkan pada 2017, mendakwa skim baharu dilaksanakan pada 2013 kurang menguntungkan berbanding skim lama.