Bapa mengaku salah abai 4 anak

Bapa mengaku salah abai 4 anak

Kamarul Kamil Abd Rifin membuat pengakuan itu selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh.

Kamarul Kamil Abd Rifin didakwa atas tuduhan mengabai empat anaknya yang ditinggalkan di pondok pengawal sebuah kompleks kerajaan di Perak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bapa mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan mengabaikan empat anaknya dengan meninggalkan mereka di pondok pengawal di sebuah kompleks kerajaan di Kampung Gajah pada Oktober lalu.

Kamarul Kamil Abd Rifin, 33, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, Kamarul dituduh melakukan pengabaian terhadap tiga anak lelakinya yang masing-masing berumur 11 tahun, tiga tahun dan 10 bulan serta seorang lagi anak perempuan yang berumur enam tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Kompleks Pejabat dan Kuarters Kerajaan di Kampung Gajah pada jam 10.44 pagi, 23 Okt lalu.

Kamarul didakwa mengikut Seksyen 33(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga berdepan hukuman mengikut subseksyen akta sama yang boleh dikenakan hukuman melaksanakan khidmat masyarakat minimum 36 jam dan maksimum 240 jam secara agregat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Azizah kemudiannya menetapkan 6 Feb tahun depan untuk sebutan semula kes dan untuk tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Media sebelum ini melaporkan kisah empat beradik yang ditinggalkan di Kompleks Pentadbiran Perak Tengah, Kampung Gajah, 23 Okt lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.