Tiada salah guna jawatan awam dalam penamatan HSR, mahkamah diberitahu

Tiada salah guna jawatan awam dalam penamatan HSR, mahkamah diberitahu

Mahkamah menetapkan 15 Dis ini untuk keputusan berhubung permohonan kerajaan membatalkan saman atas penggantungan dan penamatan projek HSR.

Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sepanjang 350km pada 1 Jan 2021. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu kerajaan Malaysia dan empat yang lain tidak melakukan sebarang salah guna jawatan awam apabila mereka mengambil keputusan untuk menggantung dan menamatkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Donald Joseph Franklin berkata defendan termasuk dua bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin menjalankan kuasa serta tanggungjawab mereka secara jujur, profesional dan tanpa mempunyai sebarang kepentingan peribadi.

“Pada setiap masa berkenaan, defendan bertindak secara munasabah dan wajar berdasarkan fakta serta mengikut undang-undang dalam menjalankan tugas, tanggungjawab dan kewajipan mereka.

“Keputusan defendan adalah keputusan dasar kerajaan Malaysia selepas mengambil kira pandangan pakar, rundingan antara pihak, kepentingan negara dan implikasi kos,” katanya semasa prosiding permohonan kerajaan dan empat tokoh politik untuk membatalkan saman difailkan Mohd Hatta Sanuri, 47, berhubung pembatalan projek infrastruktur membabitkan Malaysia dan Singapura.

Pada 30 Dis 2022, Hatta memfailkan saman itu bagi pihaknya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang didakwa terjejas dengan keputusan defendan, iaitu Mahathir, Muhyiddin, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed, bekas menteri pengangkutan, Wee Ka Siong dan kerajaan, sebagai defendan pertama hingga kelima.

Franklin juga berhujah, proses membuat keputusan defendan adalah atas pertimbangan lebih luas terhadap pendapat pakar, kepentingan negara, hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura serta implikasi kos.

“Oleh itu, kami berhujah mahkamah tidak mempunyai peranan Perlembagaan atau kompeten institusi untuk memutuskan proses membuat keputusan badan eksekutif,” katanya sambil menambah plaintif tiada locus standi untuk membawa tindakan undang-undang ke mahkamah.

Menurut SFC, plaintif gagal menunjukkan beliau mempunyai kepentingan sebenar dan tulen terhadap perkara itu atau sebarang kerugian material dialaminya akibat penggantungan dan penamatan projek HSR.

Peguam Mohaji Selamat yang mewakili Hatta berhujah, semua defendan melakukan kecuaian dan menyalahgunakan jawatan awam apabila mengambil keputusan menangguhkan projek itu.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain mempersoalkan tuntutan Hatta dengan mengatakan ia tiada butiran untuk menyokong dakwaan salah guna jawatan awam yang dilakukan defendan dan meminta plaintif menunjukkan butiran mengenai dakwaan itu.

Mohaji berkata, ahli ekonomi turut menyatakan projek itu akan memberi manfaat kepada negara dan kerajaan akan menanggung kerugian kerana perlu membayar kepada kerajaan Singapura selepas projek itu ditamatkan.

“Kegagalan defendan menjelaskan kepada orang ramai mengapa projek HSR dibatalkan menimbulkan kekeliruan dan menyebabkan plaintif serta pembayar cukai lain mengalami kerugian. Terdapat elemen salah guna jawatan awam.”

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Dis ini untuk keputusan.

Dalam pernyataan tuntutan, Hatta memohon perintah mahkamah mengisytiharkan penamatan projek itu batal dan tidak sah, serta semua defendan membayar pampasan RM1 juta kepadanya dan semua rakyat Malaysia kerana secara salah dan cuai membatalkan projek HSR.

Pada 1 Jan 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sepanjang 350km kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu tamat pada 31 Dis 2020.

Sehubungan itu, Malaysia membayar SGD102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan lanjutan penggantungannya.

Projek itu dijangka menyediakan tiga perkhidmatan utama, iaitu perjalanan terus antara Malaysia dan Singapura dalam tempoh 90 minit, perkhidmatan domestik di Malaysia dan perkhidmatan ulang-alik dari Iskandar Puteri (Johor) sehingga Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.