P Pinang akan teruskan cukai petroleum walaupun ada halangan undang-undang

P Pinang akan teruskan cukai petroleum walaupun ada halangan undang-undang

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow akan meneruskan rancangan itu walaupun timbul keraguan berhubung kebolehlaksanaannya.

Chow Kon Yeow berkata undang-undang perlu digubal untuk kutipan royalti minyak, jika minyak ditemui di perairan negeri itu. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan meneruskan rancangan berhubung kutipan royalti minyak walaupun timbul keraguan terhadap kebolehlaksanaan cukai jualan yang diilhamkan Sarawak ke atas sumber itu.

Katanya, walaupun bekas ketua menteri, Lim Guan Eng menyatakan mustahil mengenakan cukai jualan minyak, tetapi ada keperluan menggubal undang-undang bagi mengutip cukai minyak di perairan Pulau Pinang.

“Walaupun Yang Berhormat Air Putih kata kita tak ada hak mengenakan cukai jualan petroleum dan sebagainya, mungkin dari segi royalti dan lain-lain, kita tidak boleh berputus asa.

“Kalau tak ada enakmen atau ordinan, itu perlu dibuatlah untuk dapat manfaat daripada usaha ini.”

Lim yang juga bekas menteri kewangan dilaporkan berkata, Pulau Pinang tidak boleh melaksanakan cukai jualan ke atas produk petroleum seperti Sarawak.

Ini kerana, katanya Pulau Pinang tiada kuasa berbuat demikian di bawah Perlembagaan Persekutuan dan pendapatnya disokong penasihat undang-undang negeri.

Sebelum ini, Chow dilaporkan berkata Pulau Pinang mungkin mempertimbang untuk mencontohi Sarawak dalam memperkenalkan cukai jualan ke atas produk petroleum, jika minyak ditemui di perairannya.

Chow berkata beliau sudah meminta penasihat undang-undang negeri tampil dengan undang-undang cukai jualan sama dengan Sarawak dan menyasarkan hasil cukai jualan setanding RM4 bilion.

Pada 15 Nov lalu, Petronas dilaporkan berkata ia sedang memetakan potensi hidrokarbon di blok terbuka Lembangan Langkasuka, yang meliputi perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Jun lalu, Petronas dan anak syarikatnya dilaporkan membayar kerajaan Sarawak RM1.2 bilion cukai jualan ke atas produk petroleum bagi suku pertama 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.