Johor guna teknologi garisan jalan ‘glow in the dark’ tahun depan

Johor guna teknologi garisan jalan ‘glow in the dark’ tahun depan

JKR negeri akan menyenarai dan menilai jalan raya bakal dinaik taraf dengan teknologi itu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata teknologi garisan jalan ‘glow in the dark’ sesuai digunakan di jalan raya yang tiada lampu jalan, kawasan gelap dan selekoh berbahaya. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor akan menyenaraikan dan menilai jalan raya untuk dinaik taraf menggunakan teknologi garisan jalan bercahaya dalam gelap atau ‘glow in the dark’, sebelum hujung tahun ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kerajaan negeri menerusi Belanjawan Johor 2024 memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi menaik taraf garisan jalan menggunakan teknologi pantulan cahaya itu.

Beliau berkata jalan raya yang terlibat akan menggunakan teknologi baharu tersebut pada tahun depan.

“JKR akan menyenaraikan dan menilai, mana satu jalan yang sesuai untuk digunakan teknologi ‘glow in the dark’ terutama di kawasan tiada pendawaian atau tidak sesuai ada tiang elektrik, kawasan terlalu gelap, selekoh berbahaya dan jalan yang menghubungkan antara pekan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Jambatan Sungai Masai di Jalan Masai Lama, di sini semalam.

Fazli mengulas mengenai pelaksanaan untuk menaik taraf garisan jalan dengan menggunakan teknologi ‘glow in the dark’.

Menurutnya, teknologi yang memantulkan cahaya pada garisan pembahagi jalan itu memerlukan kos tinggi untuk dilaksanakan berbanding garisan pembahagi jalan biasa.

“Berbanding garisan pembahagi jalan biasa, kos bagi teknologi ‘glow in the dark’ ini harga adalah berlipat kali ganda. Tetapi apabila digunakan teknologi ini, mungkin kita tidak perlu lagi menggunakan lampu jalan.

“Peruntukan RM1 juta ini mungkin tidak banyak, tetapi ini adalah permulaan untuk kita mempelbagaikan teknologi seumpama ini di Johor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.