Sindiket pelaburan tak wujud beroperasi di bekas kediaman konsulat tumpas

Sindiket pelaburan tak wujud beroperasi di bekas kediaman konsulat tumpas

Polis turut menahan 28 individu melibatkan 13 rakyat tempatan, tujuh warga China dan masing-masing empat warga Brunei serta Korea Selatan.

Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan gambar suspek dan banglo yang dijadikan pusat operasi sindiket pelaburan tidak wujud dalam sidang media khas hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menumpaskan sindiket pelaburan tidak wujud yang beroperasi di sebuah banglo pernah dijadikan pejabat dan kediaman konsulat kehormat negara asing dalam serbuan di sini pada 22 Nov lepas.

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, banglo di kawasan yang menempatkan beberapa lagi pejabat konsulat asing lain dikekalkan identitinya untuk kelihatan sebagai pejabat konsulat masih beroperasi dan dikawal pengawal bersenjata, malah papan tanda konsulat berkenaan tidak diturunkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata dalam serbuan itu, 28 individu ditahan melibatkan 16 lelaki dan 12 wanita berusia 20 hingga 62 tahun.

Bercakap pada sidang media khas di sini, hari ini, beliau berkata mereka yang ditahan itu terdiri daripada 13 rakyat tempatan, tujuh warga China dan masing-masing empat warga Brunei serta Korea Selatan.

Katanya modus operandi sindiket itu adalah menawarkan pelaburan berkonsepkan “money games” yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat kepada pelabur warga tempatan, China, Brunei dan Korea Selatan.

“Pelaburan ditawarkan melalui mata wang kripto dan sindiket ini menawarkan pelaburan bermula 155 USDT sehingga 31,000 USDT dan pulangan yang dijanjikan secara harian sebanyak 1% hingga 2% selama 155 hari.”

Dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas pelbagai barangan, antaranya 41 telefon bimbit, 13 pasport dan sebuah kereta Lexus.

“Jumlah kerugian masih dalam siasatan, manakala pemilik banglo telah dikenal pasti dan akan dipanggil bagi memberi keterangan dalam masa terdekat kerana beliau berada di luar negara.”

Ramli berkata semua warga tempatan dibebaskan dengan jaminan polis, manakala warga asing direman mengikut Akta Imigresen 1959 hingga 8 Dis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan.

Mengenai statistik jenayah komersial, katanya dari Januari hingga 26 Nov lepas, sebanyak 37,651 kertas siasatan dibuka melibatkan kerugian lebih RM1.9 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.