Ahli Parlimen perlu lafaz Rukun Negara setiap penggal Parlimen, kata speaker

Ahli Parlimen perlu lafaz Rukun Negara setiap penggal Parlimen, kata speaker

Keputusan itu dibuat selepas mendapat permohonan Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata lafaz Rukun Negara akan dilafaz pada hari kedua mesyuarat pertama setiap penggal Parlimen. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Lafaz ikrar Rukun Negara akan dibaca pada setiap sesi pembukaan penggal Dewan Rakyat, kata Speaker Johari Abdul.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat permohonan daripada Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang.

“Saya telah terima permohonan daripada menteri perpaduan mengenai cadangan supaya Rukun Negara dilafazkan secara penuh bermula dengan mukadimah dan diikuti dengan lima prinsip Rukun Negara di Dewan Rakyat.

“Saya membawa cadangan ini ke Jawatankuasa Pembinaan Bangsa Negara, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat untuk ditimbangkan dan kedua-kedua jawatankuasa ini setuju untuk melaksanakan lafaz Rukun Negara di Dewan Rakyat.

“Oleh itu, saya masyhurkan agar lafaz Rukun Negara ini dilaksanakan pada setiap sesi pembukaan penggal Dewan Rakyat iaitu pada hari kedua mesyuarat pertama pada setiap penggal Parlimen,” katanya di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Johari memaklumkan setakat ini 213 Ahli Dewan Rakyat dan enam senator melakukan pemeriksaan kesihatan.

Bagaimanapun, beliau berkata seramai lapan Ahli Parlimen belum lagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Saya akan paparkan semua mereka yang belum jalani pemeriksaan kesihatan pada 1 Dis ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.