
Menteri kewangan berkata, PPKB melibatkan kos siling RM5 juta bagi setiap pusat dan bakal menjadi kemudahan perlindungan mangsa banjir lebih baik berbanding pusat pemindahan sementara (PPS).
“Kita hadapi banjir setiap tahun, tak munasabah hanya jadikan PPS saja, sebab itu kerajaan putuskan untuk segera ditubuhkan PPKB.
“Jadi, pusat ini mungkin boleh jadi pusat aktiviti komuniti (di luar musim banjir), tetapi dengan persiapan (hadapi banjir) agar ia lebih baik,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) sama ada kerajaan mempunyai perancangan dan tindakan menambah baik kemudahan asas PPS di seluruh negara.
Menjawab soalan asal Shamshulkahar mengenai persediaan kerajaan dalam pengurusan bencana banjir dan musim monsun timur laut, Anwar berkata, peruntukan awal RM241 juta sudah disalurkan untuk kegunaan 164 daerah bawah semangat Malaysia Madani.
Katanya, persiapan prabencana juga ditingkatkan melalui pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti, malah Jabatan Pengairan dan Saliran sudah mengenal pasti 5,648 lokasi hotspot banjir.
“Kerja-kerja penyelenggaran telah dilakukan, selain aktifkan bilik kawalan operasi, pusat ramalan dan amaran banjir yang beroperasi 24 jam. Kita juga tempatkan 737 pam bergerak di semua lokasi hotspot banjir di seluruh negara serta menaik taraf stesen siren amaran banjir dan stesen kamera web.”
Beliau berkata, seramai 66,169 pegawai dan anggota pelbagai cabang agensi kerajaan di semua peringkat, dalam keadaan siap siaga merangkumi tentera, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan, dengan sokongan 25,440 unit pelbagai aset.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut bersedia mengaktifkan 8,481 PPS dengan kapasiti menempatkan 1,620,855 mangsa di seluruh negara.
Tebatan banjir
Anwar berkata, persiapan lebih penting dalam menghadapi dan menangani banjir ialah memastikan semua projek berkaitan tebatan banjir dilaksanakan segera di seluruh negara.
“Ketika ini, enam projek dah berjalan mengikut jadual, belasan projek lain dah masuk persiapan akhir untuk dimulakan dalam tempoh satu, dua bulan ini di seluruh Semenanjung dan juga Sabah dan Sarawak.”
Menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai peruntukan khas kepada kawasan Parlimen sering dilanda banjir, katanya, Kelantan diberi keutamaan memandangkan kesan banjir di negeri itu lebih parah.
“Ini termasuk pembangunan lembangan sungai bersepadu Sungai Kelantan Fasa Dua dan rancangan tebatan banjir Kota Bharu, mungkin dimulakan dalam sebulan ini. Pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin semalam juga bersetuju disegerakan pembinaan jambatan dan penyelenggaraan Sungai Golok ke Rantau Panjang dalam usaha mengurangkan tekanan banjir.”
Anwar semalam mengadakan lawatan kerja ke Sadao, wilayah Songkhla, Thailand dengan fokus perbincangan isu berkaitan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand dengan rakan sejawatannya.
Menyentuh soal bantuan kepada petani dan penternak terjejas, beliau berkata, memang ada peruntukan buat golongan itu, namun kerajaan akan memastikan jentera di negeri, jajahan dan persekutuan mempunyai nilai ganti rugi munasabah kepada mangsa banjir.
Berhubung persediaan Malaysia mengadaptasi penggunaan teknologi dalam menangani isu banjir yang dibangkitkan Shahar Abdullah (BN-Paya Besar), katanya, negara sudah mencapai persetujuan dengan Belanda untuk bekerjasama dalam aspek itu.
“Bagaimanapun, Belanda ada pilihan raya baru-baru ini, perdana menteri yang bersetuju dahulu dah undur diri selepas kelompok ekstrem kanan menang dan ia tidak begitu menggalakkan untuk kita. Saya akan hubungi perdana menteri baharu untuk mengetahui komitmen mereka berkaitan kerjasama itu.”