
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, Wahab ialah saksi penting bagi membantu siasatan ke atas video perbualan tidak senonoh dikaitkan dengan bekas ketua pengarah J-Kom, Mohammad Agus Yusoff.
“Kita sedia maklum berhubung masalah kesihatan Wahab, kita sedang berurusan dengan pihak peguamnya,” katanya menurut Sinar Harian.
Semalam, peguam Faizal Rahman dilaporkan berkata, anak guamnya terpaksa menjadualkan semula pertemuan dengan polis untuk memberi keterangan pada Ahad lalu kerana sedang mendapatkan rawatan akibat kemurungan melampau.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa berhubung dan memberi kerjasama kepada polis bagi membantu siasatan.
“Saya telah berikan komitmen kepada pihak polis (bahawa) dalam minggu ini Wahab akan berikan keterangan,” katanya semalam.
Terdahulu, Wahab dilaporkan mendakwa beliau didesak seorang individu bergelar “Mr H” untuk merakam panggilan videonya dengan Agus. Tetapi, katanya, video itu kemudiannya disunting dan disebarkan dalam talian.
Susulan itu, polis merakam keterangan beberapa individu, termasuk Agus dan seorang lelaki dikatakan “Mr H”. Namun, pihak polis memerlukan Wahab untuk mengesahkan identiti lelaki terbabit.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.