
Kementerian itu menjelaskan, kadar tertinggi inflasi di Malaysia dicatatkan pada 1974, iaitu sebanyak 17.3%
“Kenaikan inflasi pada tahun tersebut adalah disebabkan oleh krisis harga minyak mentah dunia,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Negara bertarikh 27 Nov.
“Oleh sebab kepelbagaian sumber ekonomi, negara tidak begitu terdedah kepada mana-mana punca yang menyebabkan peningkatan inflasi secara mendadak.”
Kementerian Ekonomi menjelaskan demikian bagi menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris mengenai kesediaan kerajaan supaya tidak berlaku hiperinflasi disebabkan oleh pengapungan harga ayam, pemansuhan subsidi diesel dan kenaikan harga beras.
Kadar inflasi diukur melalui Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi menilai perubahan harga purata item di dalam bakul tetap barangan dan perkhidmatan untuk satu tempoh masa tertentu, dan kadar inflasi yang optimum biasanya bertumbuh sekitar 2 hingga 3%, tambahnya.
Berdasarkan laporan oleh Bank Dunia, menurut kementerian, hiperinflasi akan berlaku sekiranya pertumbuhan inflasi melebihi 50%
Antara faktor menyumbang berlakunya hiperinflasi termasuk kejatuhan atau peningkatan harga minyak secara mendadak, serta kedudukan fiskal tidak mampan yang mendorong kejatuhan nilai mata wang tempatan serta peningkatan inflasi, tambahnya.
Selain itu, tindakan bank pusat mencetak mata wang secara berlebihan dan kegagalan melaksanakan dasar bersesuaian mengikut keadaan ekonomi semasa turut menyumbang kepada hiperinflasi.
Kerajaan sentiasa cakna dengan isu semasa melibatkan kepentingan rakyat terutama berkaitan peningkatan kos sara hidup dan inflasi, kata kementerian.
“Kerajaan memutuskan untuk menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam pada 1 Nov setelah mengambil kira kedudukan inflasi makanan yang semakin mereda.”
Selain itu, langkah menyemak semula subsidi diesel pula dijangka tidak memberikan kesan yang besar kepada inflasi, memandangkan cadangan semakan semula subsidi diesel hanya melibatkan kenderaan persendirian, tambahnya.
“Bagi perkhidmatan pengangkutan dan barangan pula, kerajaan pada masa ini masih melaksanakan pemberian subsidi, namun peruntukan akan dikurangkan apabila langkah penyasaran semula subsidi dilaksanakan,” jelasnya,
Menurut Kementerian Ekonomi, bagi memastikan tidak berlaku hiperinflasi disebabkan kenaikan harga beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan beberapa langkah intervensi, termasuk melancarkan Program Khas Beras Putih Tempatan sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi isu kekurangan bekalan beras putih tempatan.
“Berdasarkan kestabilan dan asas ekonomi negara yang kukuh dan berdaya tahan, kerajaan yakin akan dapat mengurus ekonomi dengan lebih baik bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara,” katanya.
“Ini disokong oleh dasar berstruktur yang diumumkan seperti Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, Dasar Pelaburan Baharu (NIP), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2023 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang akan menarik lebih banyak pelaburan bagi meningkatkan lagi ekonomi negara.”