Hina Agong, ugut PM; 2 lelaki ditahan

Hina Agong, ugut PM; 2 lelaki ditahan

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata mereka adalah pemilik akaun Facebook Cik Mat Cik Po dan pemilik akaun TikTok @jaiadani89.

Polis berkata suspek berusia 37 dan 34 tahun direman hingga 30 Nov.
PETALING JAYA:
Dua lelaki ditahan di dua lokasi berasingan di Kota Bharu, Kelantan, kerana menghina Yang di-Pertuan Agong dan membuat ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerusi platform media sosial.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata tangkapan pertama disyaki pemilik akaun Facebook Cik Mat Cik Po pada 26 Nov, kerana memuat naik komentar menghasut bagi mendatangkan kebencian, penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia kepada mana-mana raja.

Sementara itu, katanya tangkapan kedua dibuat ke atas pemilik akaun TikTok @jaiadani89 hari ini kerana membuat hantaran berbaur ugutan jenayah kepada perdana menteri.

“Tangkapan pertama disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian serta penghinaan terhadap mana-mana raja, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

“Tangkapan kedua disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dengan menyembunyikan nama, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan.

Razarudin berkata, suspek berusia 37 tahun dan 34 tahun itu direman hingga 30 Nov.

“Kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.